Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja Anugerah Merdeka sejak 2007.

Turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Kay Kim merupakan penerima bersama dalam kategori Pencapaian Akademik Luar Biasa atas sumbangannya yang cemerlang kepada penyelidikan ilmiah, pembangunan tafsiran semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.

Sementara Hassan pula penerima anugerah bagi kategori Komuniti dan Pendidikan atas sumbangan awal beliau mempelopori bidang animasi tempatan selain kepemimpinannya dalam merangka pendidikan artistik animasi.

Empat lagi penerima adalah aktivis alam sekitar, Ir. Gurmit Singh KS; Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohd. Hair Bejo; Canselor Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr. Gan Ee Kiang dan pakar ekonomi Universiti Malaya, Dr. R. Rajah.

Dalam pada itu, pakar speleologi British, Andrew James Eavis turut menerima Anugerah Merdeka tahun ini di bawah bidang Sumbangan Luar Biasa kepada Masyarakat Malaysia.