Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Raja Nazrin Muizzuddin Shah dalam satu majlis yang berlangsung di Menara Berkembar Petronas, di sini semalam.

Petronas dalam kenyataannya berkata, pensyarah kanan dari Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd. Azri Ab Rani Mohd. Azri merupakan penerima anugerah geran bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi.

"Turut menerima geran bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi ialah penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Petronas, Feng Ying Xing serta pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Sumber Mineral dan Bahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Yanny Marliana Baba Ismail.

"Bagi geran kategori alam sekitar pula, geran diberikan kepada Pengurus Penyelidikan Projek, Program Karnivor Borneo, Christian R Gomez manakala usahawan sosial, Juliana Ooi Sue May menerima geran penyelidikan bagi kategori pendidikan dan komuniti," katanya.

Menurut kenyataan itu, Anugerah Merdeka yang ditubuhkan oleh Petronas, ExxonMobil dan Shell pada 27 Ogos 2007 lalu bertujuan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu dan organisasi cemerlang yang menyumbang kepada pertumbuhan negara.

"Ia anugerah berprestij bagi mengiktiraf prestasi kerja dan pencapaian cemerlang yang memberi impak kepada negara dan rakyat dalam pelbagai kategori seperti Pendidikan dan Komuniti, Persekitaran, Kesihatan, Sains dan Teknologi," katanya. - UTUSAN ONLINE