Articles

Dr Adeeba antara 6 penerima Anugerah Merdeka 2022

19 AUGUST 2022, BY Berita Harian
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, berkenan menyampaikan anugerah itu kepada semua pemenang di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. -Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, berkenan menyampaikan anugerah itu kepada semua pemenang di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. -Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
 

KUALA LUMPUR: Empat pakar dan dua badan bukan kerajaan (NGO) yang mencatatkan pencapaian luar biasa dalam bidang pengkhususan masing-masing menerima Anugerah Merdeka 2022 di sini, hari ini.

Mereka ialah pakar perubatan yang juga Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; pakar arkeologi, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid; sejarawan, Datuk Dr Annabel Teh Gallop serta aktivis pendidikan, Samuel Isaiah.

Selain itu, dua NGO yang menerima Anugerah Merdeka 2022 adalah Teach For Malaysia dan Pusat Alam Sekitar Global (GEC).

Mereka dikurniakan anugerah mengikut enam kategori iaitu Pendidikan dan Komuniti; Alam Sekitar; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Pencapaian Ilmiah Cemerlang; Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia serta anugerah baharu, Anugerah Harapan Merdeka.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan penerima Anugerah Merdeka sejak 2008 sebanyak 57 individu dan enam organisasi.

Setiap penerima membawa pulang piala Anugerah Merdeka berserta sijil pengiktirafan dan wang tunai, manakala penerima Anugerah Harapan Merdeka dianugerahkan sijil pengiktirafan dan wang tunai.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, berkenan menyampaikan anugerah itu kepada semua pemenang.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Datuk Tengku Muhammad Taufik; Pengerusi Shell Malaysia, Ivan Tan serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan dan Datuk Yvonne Chia.

Dr Adeeba menerima anugerah bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas pencapaiannya dalam menjadi penggerak utama mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS dan menggubal dasar serta menstruktur tindak balas yang membawa kepada pencegahan, rawatan dan pengurangan kes penyakit itu.

Siti Zuraina menerima anugerah untuk kategori Pencapaian Ilmiah Cemerlang atas pencapaian menjadi ahli arkeologi Malaysia pertama bertanggungjawab dalam penemuan Perak Man serta memacu pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

Gallop dianugerahkan bagi kategori Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia kerana sumbangannya dalam penyelidikan ilmiah, kurasi, pengarkiban dan pemuliharaan surat, manuskrip Melayu, mohor dan dokumen Melayu purba yang membawa kepada pemahaman mendalam terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan dan diplomasi di seluruh Kepulauan Melayu.

Samuel pula menjadi penerima sulung Anugerah Harapan Merdeka atas sumbangan meningkat dan memartabatkan taraf pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli, selain melatih guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

Anugerah kategori Pendidikan dan Komuniti pula diserahkan kepada Teach for Malaysia atas sumbangan menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi di sekolah kerajaan, terutama di luar bandar dan masyarakat kurang bernasib baik.

GEC menerima anugerah kategori Alam Sekitar kerana sumbangan cemerlang dalam pengurusan hutan bakau, hutan paya gambut, sungai dan pantai, program perubahan iklim serta menjalin kerjasama pelbagai pihak yang membantu memulihara dan melindungi alam sekitar dan sumber asli Malaysia.

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah, Anugerah Merdeka bukan sekadar mengiktiraf individu dengan pencapaian cemerlang, malah bermatlamat memupuk semangat perintisan dalam kalangan golongan muda di Malaysia untuk membantu memacu kemajuan negara.

"Anugerah ini juga bermatlamat memajukan hasil kerja penerima anugerah dan meningkatkan impaknya terhadap sosial, ekonomi dan persekitaran.

"Ini amat penting ketika kita bergerak ke arah masa depan di mana penyelidikan dan pembangunan saintifik inovatif serta pengetahuan teknologi, dirangsang generasi akan datang yang akan memberi kelebihan kompetitif pada kita," titah baginda.

ARCHIVES
 

SIDE BOX STORIES


Dr Edison Lee Tian Khoon
Dr Edison headed to Sweden’s Uppsala University, where he joined the Department of Chemistry, Ångström Laboratory, as part of his attachment stint. He is currently carrying out active research in polymer electrolyte and nanomaterials for Lithium-ion batteries. Read more about him here:
Innovating the Energy Ecosystem
Chrishen R. Gomez
Having attended the prestigious Ivy League Brown University as part of his attachment programme, 27-year-old Chrishen is now with the Wildlife Research and Conservation Unit at Oxford University. Chrishen is busy developing a genetic-based research project on the Sunda Clouded Leopard. Read more about him here: Conserving Our Forests & Future
Dr Zetty
Dr Zetty is currently working on anti-cancer compounds found in Malaysian seaweed and has continued to pursue her original project proposal of microalgae vaccine carriers for fish. A working solution has been patented by Dr Zetty and will be deployed within the coming year.
 
We use cookies to enhance your browsing experience and for analytical purposes. By continuing to browse, you are deemed to accept our use of cookies. Learn more about disabling cookies and our Privacy Statement here.