.jpeg.aspx?width=500&height=285)
KUALA LUMPUR: Tujuh pakar yang merekodkan pencapaian luar biasa dalam bidang pengkhususan masing-masing menerima Anugerah Merdeka 2018 anjuran PETRONAS, ExxonMobil serta Shell, di sini, hari ini.
Mereka ialah Bapa animasi negara, Hassan Abdul Muthalib; aktivis alam sekitar, Gurmit Singh KS; Canselor Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Gan Ee Kiang; Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Hair Bejo.
Selain itu, sejarawan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Pakar Ekonomi Universiti Malaya (UM), Prof Kehormat Dr R Rajah dan pakar speleologi British, Andrew James Eavis.
Mereka dikurniakan anugerah mengikut lima kategori iaitu pendidikan dan komuniti; alam sekitar; kesihatan, sains dan teknologi (dua penerima bersama) ; pencapaian akademik luar biasa (dua penerima bersama) dan sumbangan luar biasa kepada rakyat Malaysia.
Setiap pemenang menerima trofi Anugerah Merdeka berserta sijil dan wang tunai, selain diberi penghormatan untuk dicatatkan dalam sejarah negara bersama 42 individu dan dua organisasi yang pernah menerima anugerah berkenaan sebelum ini.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka berkenan menyampaikan anugerah itu kepada semua pemenang.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Yang turut hadir, Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Presiden Penerokaan dan Pengeluaran ExxonMobil Malaysia Inc, Edward E Graham dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo.
Hassan menerima anugerah bagi kategori pendidikan dan komuniti atas sumbangannya sebagai peneraju industri animasi tempatan, selain peranannya dalam mewujudkan kerangka pendidikan kepentingan artistik animasi di negara ini.
Kategori alam sekitar dianugerahkan kepada Gurmit atas sumbangan aktivisme, kerja advokasi serta peranan dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar serta menentang perubahan iklim di Malaysia.
Kiang yang menerima anugerah bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi, adalah peneraju dalam membangunkan model komersial penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti negara ini, selain peranannya dalam bidang farmakologi klinikal, sains farmaseutikal dan penyelidikan perubatan.
Turut menerima anugerah kategori sama adalah Mohd Hair atas peranannya dalam penghasilan makanan yang lestari menerusi pembangunan dan pengkomersialan vaksin terhadap penyakit Gumboro yang menyerang ayam, sekali gus memanfaatkan industri berkenaan di Malaysia dan antarabangsa.
Anugerah bagi kategori pencapaian akademik luar biasa diberikan kepada Kay Kim yang bertanggungjawab dalam kajian serta penterjemahan semula sejarah Malaysia, selain dedikasi seumur hidupnya dalam pendidikan sejarah.
Kategori sama turut dianugerahkan kepada Rajah hasil kajian dan pembangunan kerangka teori makroekonomi dengan meneraju konsep, pengukuran dan aplikasi teori inovasi, serta merangka dasar inovasi negara membangun.
Eavis pula menerima anugerah kategori sumbangan luar biasa kepada rakyat Malaysia, atas kajian dan pembabitannya dalam Projek Gua Mulu bersama Ekspedisi Persatuan Geografi Diraja, selain penemuan lohong gua terbesar dunia, Sarawak Chamber.