News

PEMANDU tumpu komponen 12 NKEA, 6 SRI

23 APRIL 2012, BY Berita Harian

UNIT Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan terus menumpukan kepada dua komponen utama Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) serta enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) untuk menetapkan hala tuju Malaysia menjadi negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, berkata tumpuan kepada komponen berkenaan memandangkan kedua-duanya dikenal pasti sebagai pemangkin kepada daya saing negara yang dinamik di peringkat global.
“Hanya sedikit negara sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi. Bagi mencapai status yang sangat dikehendaki itu, kita perlu mengetahui apakah kekuatan serta daya saing yang dimiliki.
“Tahun lalu adalah tahun yang hebat untuk ETP, namun kita masih mempunyai jalan yang panjang untuk ditempuh,” katanya semasa rakaman program bual bicara meja bulat Anugerah Merdeka Ketiga bertajuk ‘Membina Malaysia Yang Berdaya Saing Di Peringkat Global’ baru-baru ini.

Program itu yang dihoskan bekas wartawan perniagaan TV3 dan penyampai CNBC Asia, Bettina Khan akan ditayangkan di saluran berita Astro Awani bulan depan.

Turut serta dalam perbincangan selama sejam itu ialah Penerima Anugerah Merdeka Kategori Alam Sekitar, Datuk Dr Kenneth Yeang dan Rakan Urusan McKinsey & Company Asia Tenggara, Oliver Tonby.

Idris berkata, semua 12 NKEA dan enam SRI yang digariskan di bawah ETP itu terbukti adalah sektor yang membawa kelebihan daya saing negara ini di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata semua pihak yang terbabit dalam pelaksanaan ETP perlu mengikuti standard antarabangsa yang kebanyakannya sudah digariskan kerajaan dalam usaha negara merealisasikan kelebihan daya saing itu.

“Sebagai contoh dalam sektor sawit, PEMANDU mendapati 10 kilang penapis yang menghasilkan kadar pengekstrakan paling tinggi di negara ini semuanya mengikut standard operasi antarabangsa.

“Hasilnya, tahun lalu industri sawit tempatan berjaya mencatatkan peningkatan dari segi kadar pengekstrakan minyak sawit apabila peserta dalam industri itu mengikut standard yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Bagi mencapai matlamat serupa, Idris menegaskan syarikat di negara ini juga perlu mengambil kira pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja tempatan dan antara cara paling berkesan melaksanakannya adalah dari segi tangga gaji.

“Saya sudah melakukan kajian dan mendapati keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat negara ini adalah sangat baik, namun mereka juga perlu menimbang untuk membayar gaji lebih tinggi kepada bakat dan tenaga kerja masing-masing.

“Nisbah keuntungan syarikat kepada kadar gaji di negara ini masih agak rendah dan bagi mewujudkan lebih banyak peluang, syarikat mesti sedia membayar (gaji yang bersesuaian),” katanya.

Tegasnya, sektor pendidikan di Malaysia juga perlu ditingkatkan khususnya dari segi penguasaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar.

“Saya berasal dari kawasan pedalaman Bario di Sarawak. Semasa kecil, satu-satunya cara yang paling mudah untuk mengetahui perkembangan dunia luar adalah menerusi pembacaan. Kita perlu melihat lebih jauh,” katanya.

Pendapat beliau turut disokong Tonby yang menegaskan keupayaan berfikir di kalangan rakyat negara ini boleh diasah lagi supaya dapat menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara maju.

“Kerajaan mungkin boleh menimbang untuk mereka bentuk semula dasar kurikulum tempatan. Penggunaan teknologi maklumat (IT) yang meluas juga boleh membantu,” katanya.

Sementara itu, Yeang yang memberi sumbangan cemerlang dalam bidang kaedah reka bentuk ekologi dan seni bina tempatan pula berkata, sudah sampai masanya syarikat negara ini berfikir mengenai pasaran luar.

“Jika hanya melihat ke pasaran yang kecil, mereka tidak akan ke mana-mana,” katanya.

ARCHIVES
 

SIDE BOX STORIES


Dr Edison Lee Tian Khoon
Dr Edison headed to Sweden’s Uppsala University, where he joined the Department of Chemistry, Ångström Laboratory, as part of his attachment stint. He is currently carrying out active research in polymer electrolyte and nanomaterials for Lithium-ion batteries. Read more about him here:
Innovating the Energy Ecosystem
Chrishen R. Gomez
Having attended the prestigious Ivy League Brown University as part of his attachment programme, 27-year-old Chrishen is now with the Wildlife Research and Conservation Unit at Oxford University. Chrishen is busy developing a genetic-based research project on the Sunda Clouded Leopard. Read more about him here: Conserving Our Forests & Future
Dr Zetty
Dr Zetty is currently working on anti-cancer compounds found in Malaysian seaweed and has continued to pursue her original project proposal of microalgae vaccine carriers for fish. A working solution has been patented by Dr Zetty and will be deployed within the coming year.
 
We use cookies to enhance your browsing experience and for analytical purposes. By continuing to browse, you are deemed to accept our use of cookies. Learn more about disabling cookies and our Privacy Statement here.