Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama penerima anugerah dalam Majlis Anugerah Merdeka 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur. FOTO : MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada lima penerima Anugerah Merdeka 2022 dan satu Anugerah Harapan Merdeka di sini hari ini.
Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja dan Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka berangkat ke majlis berkenaan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Dalam majlis yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur itu, enam penerima anugerah tersebut telah dipilih berdasarkan kejayaan cemerlang dan sumbangan besar mereka kepada rakyat Malaysia dan negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust (MAT), Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, pengiktirafan Anugerah Merdeka membuka jalan untuk memupuk kecemerlangan meskipun ketika negara mengharungi cabaran yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Tokoh-tokoh penerima Anugerah Merdeka cekal meneruskan usaha murni mereka dengan penuh semangat ke arah mencipta masa depan yang mampan untuk semua.
“Mereka gigih meniupkan semangat ke dalam makna merdeka di hati kita sekaligus membuktikan kecekalan Malaysia menempuhi ujian demi ujian, untuk terus bertahan dan bangkit menyahut panggilan untuk memupuk lagi keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara tercinta ini,” jelas beliau ketika berucap pada majlis tersebut hari ini.
Enam penerima Anugerah Merdeka 2022 mengikut kategori ialah; Pendidikan dan Komuniti diterima oleh Teach For Malaysia, Alam Sekitar: Global Environment Centre (GEC), pencapaian Ilmiah Cemerlang: Prof. Datuk Dr. Siti Zuraina Abdul Majid, kesihatan, Sains dan Teknologi: Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman serta sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia: Datuk Dr. Annabel Teh Gallop.
Sementara Anugerah Harapan Merdeka yang julung kali diadakan diterima oleh Samuel Isaiah atas sumbangan cemerlang serta komitmen beliau untuk meningkatkan dan memartabatkan taraf pendidikan Orang Asli dan melatih para guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan.
Tahun ini, pencarian para penerima anugerah telah dianjurkan secara meluas dengan lebih 300 individu dan organisasi berkaliber tinggi dan cemerlang serta memberi impak yang mampan dalam usaha kerja mereka telah dipertimbangkan dalam pemilihan penerima anugerah.
Setakat hari ini, jumlah keseluruhan penerima Anugerah Merdeka sejak tahun 2008 adalah 57 individu dan enam organisasi.
Setiap penerima Merdeka Award akan dianugerahkan dengan Piala Merdeka Award, Sijil Pengiktirafan dan hadiah wang tunai, manakala penerima Anugerah Harapan Merdeka akan dianugerahkan dengan Sijil Pengkitirafan dan hadiah wang tunai. – KOSMO! ONLINE.