A Samad Said, Faridah Merican antara 7 penerima Anugerah Merdeka 2024
Bernama
Sasterawan Negara, Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said atau A Samad Said (tengah) dan tokoh teater terkenal Datuk Dr Faridah Merican (empat kiri) antara tujuh individu cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2024.
A Samad Said, 89, dipilih menerima anugerah itu kerana sumbangan besarnya dalam dunia kesusasteraan Melayu merangkumi novel, puisi, esei, drama, dan seni persembahan.
Sementara itu, Faridah, 84, yang juga dikenali sebagai 'Wanita Pertama' bagi Teater Malaysia, dipilih kerana komitmen tidak berbelah bagi beliau dalam mencorakkan landskap seni persembahan negara dan memberi rakyat Malaysia akses serta pendedahan berharga kepada seni.
Pengasas bersama Actors Studio, Kuala Lumpur Performing Arts Centre, dan Performing Arts Centre of Penang itu berharap industri seni persembahan tempatan menjadi pusat yang dinamik dan inklusif bagi menyuburkan kreativiti dengan bimbingan kepada artis baharu, merayakan karya inovatif dan masyarakat bersatu melalui perkongsian pengalaman serta pengayaan budaya.
"Selagi saya hidup ini, saya ingin melihat lebih banyak persembahan teater diadakan. Walaupun kini banyak aktiviti teater muncul tetapi lebih tertumpu di Kuala Lumpur dan agak malang ia tidak berlaku di seluruh negara. Jadi, menjadi harapan saya agar aktiviti teater ini diadakan di seluruh negara," katanya.
Terlibat dalam dunia teater sejak 1960, beliau berkongsi minat tersebut bersama suaminya, Joe Hasham dengan membangunkan seni persembahan dan pendidikan dalam bidang tersebut.
Penerima lain bagi Anugerah Merdeka tahun ini termasuk Prof Dr Joy Jacqueline Pereira untuk kategori Alam Sekitar, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman (Kesihatan, Sains dan Teknologi), Profesor Emiratus Dr Jomo Kwame Sundaram (Pencapaian Akademik Cemerlang) dan Dr Kathryn Anne Rivai (Sumbangan Luar Biasa kepada Rakyat Malaysia) .
Sementara itu, pemberita Ian Yee Ngan Fui yang menang pelbagai anugerah dan pengasas bersama The Fourth serta Pengarang Penyiasat Tetap bagi Asia Investigative Reporting Network menerima Anugerah Harapan Merdeka.
Beliau dipilih kerana usahanya menerajui bidang kewartawanan penyiasatan di Malaysia dalam kalangan belia, menghasilkan dokumentari multimedia yang berkesan serta kempen tindakan awam yang inovatif menentang ketidakadilan sosial. – BERNAMA