Berita oleh Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Merdeka Award Trust mengumumkan lima penerima Geran Anugerah Merdeka Untuk Penempatan Antarabangsa 2025, sekali gus mengiktiraf bakat luar biasa anak muda yang bakal mewakili Malaysia dalam penempatan jangka pendek di institusi terkemuka dunia.
Lima penerima geran berkenaan ialah pensyarah (Sekolah Farmasi) Monash University Malaysia, Dinesh Sangarran Ramachandram yang akan memperkukuh pendidikan penjagaan dementia di Malaysia menerusi pendekatan budaya yang sensitif dan alatan ubat-ubatan praktikal.
1. Dinesh Sangarran Ramachandram
Diikuti penerima kedua, Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Rasyidah Rehir yang akan memperluas inisiatif latihan perubatan melalui program pendermaan badan dan pemeliharaan kadaver lanjutan.
2. Dr Rasyidah Rehir
Penerima ketiga, Pengasas yang juga Presiden United For Global Antimicrobial Stewardship (UGAS), Calvin Shee Yin Ming merupakan pelajar Fakulti Sains, Universiti Malaya akan meneroka mikrobiom pokok periuk kera bagi mencari sebatian semula jadi untuk antibiotik baharu.
3. Calvin Shee Yin Ming
Penerima keempat, Penyelidik PhD Universiti Malaysia Terengganu, Keisheni Ganeson yang menumpukan kepada pembangunan tampalan mikroneedle pintar dan boleh terurai berasaskan bunga telang untuk merawat luka.
4. Keisheni Ganeson
Penerima kelima, Penyelidik PhD Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Nur Hafizah Annezah Utuh yang akan memperluas penyelidikan rawatan jantung berasaskan DNA untuk rawatan peribadi pesakit penyakit jantung.
5. Nur Hafizah Annezah Utuh
Geran berprestij itu bertujuan memperkasa penyelidikan, pengajian dan projek profesional anak muda negara berumur antara 22 hingga 35 tahun, selaras dengan semangat kecemerlangan, integriti serta khidmat kepada negara.
Membina Malaysia lebih baik
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, selama hampir dua dekad, Merdeka Award Trust telah mengiktiraf dan meraikan rakyat Malaysia yang cemerlang, yang telah menumpukan kerjaya mereka untuk memperkayakan kehidupan masyarakat serta menyumbang kepada kemajuan negara.
“Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa pula berperanan meluaskan pengiktirafan ini kepada anak muda Malaysia yang bukan sahaja mempunyai visi, malah tekad untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing masing.
“Penerima Geran terdahulu telah memberi impak berkekalan kepada Malaysia melalui usaha mereka dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, sains dan teknologi.
Penerima geran 2013 – 2025 mengikut kategori.
“Dengan kelima-lima penerima cemerlang ini menyertai barisan penerima terdahulu yang berprestij, kami menantikan penyelesaian inovatif yang telah mereka gagaskan dan akan diperkemas serta direalisasikan demi manfaat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Geran tersebut yang kini memasuki edisi ke-10, mencatatkan rekod lebih 200 permohonan yang mana ia jumlah tertinggi sejak diperkenalkan pada tahun 2012.
Peningkatan berkenaan menunjukkan nilai prestij geran dan semangat tinggi generasi muda negara ini yang mahu meneroka peluang global demi menyumbang semula kepada kemajuan negara.
Dengan lebih sedekad impak dan skop yang semakin meluas, Geran Anugerah Merdeka Untuk Penempatan Antarabangsa terus menjadi pemangkin kepada generasi baharu pembina negara iaitu anak muda Malaysia yang akan membentuk masa depan yang lebih adil, lestari dan penuh inspirasi.
Destinasi penempatan 2013 - 2023 merangkumi rantau berlainan seperti tertera.
Sejak dilancarkan pada 2012, Geran Anugerah Merdeka telah menyokong 33 rakyat Malaysia dalam penempatan jangka pendek di lebih 40 institusi bertaraf dunia, sejajar dengan aspirasi untuk memperluas pengetahuan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
Merdeka Award Trust ditubuhkan pada 27 Ogos 2007 oleh PETRONAS dan Shell bagi mengiktiraf individu serta organisasi cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negara serta menginspirasikan rakyat Malaysia dalam pelbagai kategori.
Antaranya kategori tersebut ialah sumbangan cemerlang kepada pendidikan dan komuniti; alam sekitar dan kesihatan planet; sains, teknologi dan inovasi; pencapaian ilmiah dan akademik serta Anugerah Khas Merdeka.
Pada tahun 2022, Anugerah Harapan Merdeka diperkenalkan bagi menghargai sumbangan individu berusia 40 tahun ke bawah atau organisasi yang beroperasi kurang 10 tahun.
Pada tahun 2026, kategori baharu iaitu sumbangan cemerlang dalam kemanusiaan, seni dan sukan diperkenalkan.
Penerima Geran 2013 – 2025 mengikut jantina.
Nama Merdeka Award Trust dipilih bagi memperingati erti kemerdekaan sebenar yang merangkumi kebebasan minda dan semangat sebagai pemangkin potensi insan serta pencapaian cemerlang.
Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa yang dilancarkan pada 2012 itu merupakan lanjutan kepada Anugerah Merdeka yang berprestij.
Ia terbuka kepada rakyat Malaysia berumur antara 22 hingga 35 tahun untuk mengikuti penempatan antarabangsa jangka pendek sehingga tiga bulan di institusi bertaraf dunia.
Tujuannya adalah untuk menyokong penyelidikan, pengajian atau projek profesional yang sejajar dengan nilai kecemerlangan, integriti dan khidmat kepada negara.
Maklumat lanjut, layari www. merdekaaward.my atau Facebook Merdeka Award, Instagram @merdekaaward,TikTok @ merdekaaward, LinkedIn Merdeka Award dan YouTube Merdeka Award Channel.