Amaziasizamoria (tengah) bersama sukarelawan dan pelajar prasiswazah daripada Universiti Cardiff mengutip sampel akar di tapak pemulihan. — Merdeka Award Trust
DI tengah-tengah hutan hujan Sabah yang subur, Amaziasizamoria Jumail mendefinisikan semula makna wanita yang berperanan penting dalam bidang sains, khususnya pemulihan alam sekitar.
Pada usia 35 tahun, Amaziasizamoria yang merupakan pemerhati alam sekitar, penyelidik dan penerima Anugerah Merdeka membuktikan bahawa wanita mampu mengatasi segala halangan dan memberikan inspirasi kepada generasi masa depan.
Sebagai pegawai penyelidik di Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Cardiff, Britain, beliau memainkan peranan penting dalam usaha memulihara hutan hujan di Malaysia.
Tugas beliau dalam projek Regrow Borneo di dataran banjir Kinabatangan, Sabah memfokuskan bukan sahaja penanaman semula pokok, tetapi juga pembinaan semula ekosistem yang musnah.
Dilancarkan pada 2019, projek tersebut bertujuan memulihkan hutan rosak dan membawa semula kehidupan yang bergantung kepada ekosistem tersebut.
"Pemuliharaan sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan pemulihan aktif bagi mengembalikan ekosistem ini, bukan sahaja untuk biodiversiti, tetapi juga buat komuniti yang bergantung kepada mereka," kata Amaziasizamoria yang mendalami bidang sains alam sekitar sejak di bangku sekolah.
Amaziasizamoria menimbang seekor tikus yang tertangkap dalam salah satu perangkap sebelum merekodkan data morfometrik dan melepaskannya. — Merdeka Award Trust
Mengukur kedalaman lubang yang digali untuk menilai biomassa akar dan penyimpanan karbon. — Merdeka Award Trust
Menyedari tekanan sosial dihadapi wanita, termasuk tanggungjawab keluarga dan cabaran jangkaan budaya, beliau berusaha mengubah persepsi masyarakat mengenai peranan wanita dalam kepimpinan.
"Masih ada pemikiran yang mendalam bahawa kepimpinan adalah untuk lelaki, terutama dalam masyarakat yang mana peranan jantina sering dipengaruhi oleh agama dan budaya," katanya.
Mengulas lanjut mengenai stereotaip sosial dan peranan tradisional dihadapi wanita dalam bidang sains alam sekitar, Amaziasizamoria melihat cabaran itu sebagai motivasi untuk terus maju.
Amaziasizamoria percaya wanita mempunyai kekuatan yang amat berharga dalam bidang sains, terutamanya dalam kecerdasan emosi, kerjasama dan kemahiran penyelesaian masalah.
Beliau juga menyokong perubahan institusi yang membolehkan wanita berkembang, termasuk pengaturan kerja fleksibel dan kemudahan penyelidikan mesra keluarga.
"Kerja saya bukan sahaja untuk memulihkan ekosistem, tetapi juga menuai harapan bagi masa depan," tambahnya.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Amaziasizamoria menitip nasihat kepada wanita muda yang berminat untuk mengejar karier dalam bidang sains:
"Jadilah seorang yang penuh semangat, tetap tekun dan jangan biarkan jangkaan masyarakat menentukan jalan hidup anda.