03 September 2025
Lima belia terima Geran Anugerah Merdeka 2025 bagi penempatan antarabangsa

Berita oleh Berita Harian

Sultan Nazrin Shah diiringi Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (kiri) bersama penerima pada Majlis Penyampaian Geran Anugerah Merdeka 2025 bagi penempatan antarabangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lima belia cemerlang menerima Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa 2025 oleh Amanah Anugerah Merdeka.

Mereka adalah antara lebih 200 calon yang membuat permohonan, sekali gus menandakan peningkatan prestij geran itu serta aspirasi semakin tinggi dalam kalangan belia Malaysia untuk memacu kemajuan negara.

Penerima Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa 2025 adalah Pensyarah Sekolah Farmasi Universiti Monash Malaysia, Dinesh Sangarran Ramachandram, Pensyarah Perubatan Pelatih, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rasyidah Rehir dan pengasas dan Presiden United for Global Antimicrobial Stewardship (UGAS) yang juga pelajar Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Calvin Shee Yin Ming.

Turut menerima, penyelidik doktor falsafah (PhD), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Keisheni Ganeson dan penyelidik doktor falsafah PhD, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Hafizah Annezah Utuh.

Geran yang kini memasuki edisi ke-10 itu terus menyediakan platform kepada anak muda Malaysia untuk mengikuti penempatan antarabangsa jangka pendek yang dapat memperkukuh keupayaan penyelidikan dan kepimpinan mereka.

Sehingga kini, geran itu menyokong 33 anak muda Malaysia dalam menjalankan penempatan antarabangsa jangka pendek di lebih 40 institusi bertaraf dunia.

Dengan memberi impak melebihi sedekad, ia menjadi pemangkin kepada generasi pembina negara, seterusnya mereka yang komited membentuk masa depan lebih adil, lestari dan memberi inspirasi.

Penaung Diraja dan Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah untuk menjadikan Malaysia kekal progresif dari segi ekonomi dan sosial memerlukan anak muda yang berani mendengar dengan mendalam dan bertindak matang.

Titah baginda, anak muda itu juga tidak mudah terpengaruh sikap sinis, tetapi terinspirasi kebenaran.

"Mereka juga perlu memahami dan mencintai negara ini tidak bermakna menutup mata terhadap kelemahannya, sebaliknya berusaha meraikan warisannya dan mengangkat martabat kita di persada dunia," titah baginda.

Rai rakyat cemerlang
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata selama hampir dua dekad, Merdeka Award Trust telah mengiktiraf dan meraikan rakyat Malaysia cemerlang yang telah menumpukan kerjaya mereka dalam menaik taraf kehidupan masyarakat setempat serta menyumbang kepada kemajuan negara ini.

"Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa pula diwujudkan bagi meluaskan pengiktirafan kepada anak muda Malaysia yang bukan sahaja mempunyai visi, malah tekad untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Penerima geran sebelum ini telah memberikan impak kepada Malaysia melalui usaha mereka dalam pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi.

"Dengan lima penerima baharu menyertai senarai tokoh cemerlang terdahulu, kami mengharapkan penyelesaian berinovasi telah mereka usahakan yang akan diperhalusi dan direalisasikan demi manfaat semua rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, penerima geran, Dinesh Sangarran Ramachandram berhasrat memajukan penjagaan demensia di Malaysia melalui pendidikan yang sensitif terhadap budaya dan penyediaan alat praktikal perubatan.

Katanya, demensia sering dilihat sebagai penuaan normal dan stigma itu perlu diubah selain perlu juga meningkatkan kesedaran dengan memperbanyakkan sumber maklumat mengenainya terutama di dalam bahasa Melayu.

"Dalam tempoh 10 tahun lagi, saya berharap Malaysia akan menjadi peneraju dalam penjagaan demensia dengan memberikan perkhidmatan yang akses sepenuhnya kepada semua tanpa mengira di bandar atau luar bandar, " katanya.

Dr Rasyidah pula berhasrat memperluas usahanya dalam Transformasi Latihan Perubatan Melalui Pendermaan Tubuh dan Pemeliharaan Kadaver Lanjutan.

Katanya, ketika ini Malaysia berhadapan cabaran dalam menyediakan mayat kerana ketiadaan program pendermaan badan yang komprehensif dan pusat bertauliah untuk menguruskan pendermaan itu dan ia menyebabkan ramai pelajar dan pakar bedah terlepas pembelajaran praktikal yang penting.

"Namun dengan adanya usaha ini nanti, ia akan menjadikan mereka lebih terlatih kerana asas kukuh dalam anatomi secara langsung, dapat memberi kesan kepada kualiti diagnosis dan rawatan," katanya.


Dalami Kajian
Calvin Shee berhasrat mendalami kajian beliau mengenai Penerokaan Mikrobiom Pokok Periuk Kera sebagai Sebatian Semula Jadi untuk Antibiotik Baharu.

Katanya, kajian itu penting dalam menghadapi cabaran antibiotik kerana ia meneroka komuniti mikrob belum diterokai yang tinggal dalam periuk kera.

"Dengan mengkaji bakteria dan kulat ini melalui metagenomik, kami boleh menemui molekul bioaktif baharu termasuk antibiotik baharu yang berpotensi atau enzim pemecah rintangan," katanya.

Keisheni pula berhasrat meneruskan penyelidikan beliau dalam Pembangunan Tampalan Jarum Mikro Pintar Biodegradasi menggunakan bunga telang untuk merawat luka.

Katanya, jarum mikro boleh menghantar ubat terus ke dalam kulit di sekeliling luka kerana ia menyasarkan terus kepada jangkitan, sekali gus menggalakkan penyembuhan dan pada masa sama nanopartikel pada bunga telang bertindak balas pada perubahan pH luka.

"Jika terdapat jangkitan, pH berubah warna dan tampalan bertukar warna memberikan isyarat yang boleh dilihat oleh pakar perubatan dan pesakit sendiri.

"Ini menunjukkan, ia menggabungkan rawatan dan pemantauan dalam satu peranti dan boleh mengurangkan keperluan untuk lawatan berulang ke klinik atau hospital," katanya.

Nur Hafizah Annezah pula berhasrat memperluaskan penyelidikannya mengenai ubat jantung berpandukan DNA untuk rawatan peribadi bagi meningkatkan hasil rawatan pesakit penyakit jantung.

Katanya, dia mahu hasil penyelidikannya itu memberikan bukti kukuh mengenai manfaat klinikal dan keberkesanan kos terapi berpandukan genotip dengan membantu mengemas kini garis panduan klinikal kebangsaan untuk rawatan penyakit jantung di Malaysia.

"Saya berharap penemuan hasil penyelidikan ini juga boleh menyokong peralihan ke arah ketepatan perubatan yang bukan sahaja berkesan untuk pesakit, tetapi lebih mampan untuk sistem penjagaan kesihatan," katanya.

Anugerah Merdeka diasaskan PETRONAS dan Shell bertujuan untuk mengiktiraf individu yang memberi impak besar kepada Malaysia dalam bidang pendidikan, sains, budaya, alam sekitar dan masyarakat, selain menyediakan Geran Anugerah Merdeka bagi melahirkan bakat muda bertaraf global.

Klik pautan di bawah untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Amanah Anugerah Merdeka: www.merdekaaward.my.


Health, Science and Technology
Dato' Professor Dr. Adeeba Kamarulzaman
Recipient for Year 2022
Something that is worth doing is often tough, but the rewards can be big.
Latest from The Merdeka Award
The 2023 Merdeka Award Grant for International Attachment has been awarded.
We can now study sound in living organisms, from the molecular to the ecological.
If you missed the session, stay tuned for the full video coming up soon! Lots of hot stuff in store!
Malaysians Under 35 Invited to Secure 3-Month Attachment Experience Abroad
Ooops!
Generic Popup2