Berita oleh Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (enam kiri) bersama penerima Geran Anugerah Merdeka di Mandarin Oriental Hotel, KL hari ini. Turut bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik (kiri).
Sultan Nazrin bertitah kenegaraan pada abad ke-21 memerlukan usaha menangani naratif palsu dan memecahbelahkan, di samping memupuk dialog berhemah, hubungan bermakna dan tindakan yang mencerminkan keterangkuman.
"Menjadi tanggungjawab bersama setiap generasi ketika kita terus mendefinisikan dan mengangkat makna menjadi rakyat Malaysia yang berakar pada empati, keadilan dan semangat berkongsi masa depan.
"Kita perlu terus membina Malaysia dengan rakyat pelbagai agama dan latar belakang bukan sahaja dapat hidup bersama, tetapi juga dapat memperkaya dan mengangkat antara satu sama lain dengan kebijaksanaan dan empati," titah baginda.
Menekankan peranan belia, Sultan Nazrin bertitah Malaysia memerlukan generasi yang mampu berfikir secara kritis, matang, dan berani menghadapi cabaran sambil berpaksikan nilai kebangsaan.
"Jika kita mahukan Malaysia yang kekal progresif dari segi ekonomi dan sosial, kita perlukan belia Malaysia yang berani mendengar dan bertindak dengan kematangan. Generasi yang diilhamkan oleh kebenaran, bukannya terganggu dengan kesinisan.
"Generasi yang tahu bahawa mencintai negara ini tidak bermakna mengabaikan kelemahannya, tetapi bekerjasama untuk memangkas, melindungi dan menumbuhkan semula," titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut mengumumkan peluasan Geran Anugerah Merdeka dengan menambah kategori baharu dalam bidang Kemanusiaan, Seni dan Sukan, di samping tiga bidang sedia ada, iaitu Pendidikan, Komuniti dan Alam Sekitar, serta Sains, Teknologi dan Inovasi.
"Peluasan ini mencerminkan visi yang lebih luas tentang makna membina masyarakat yang berdaya tahan dan bersatu padu. Langkah ini juga mengiktiraf kebudayaan, kreativiti dan ekspresi manusia bukanlah cabang sampingan, tetapi jiwa sebenar identiti negara dan lingkaran yang menandakan dan merekodkan kemajuan kita," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah permohonan untuk geran berkenaan mencapai jumlah tertinggi tahun ini, iaitu melebihi 200 permohonan buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2013.
Sejak diperkenalkan pada 2013, Geran Anugerah Merdeka telah melahirkan 33 penerima yang membawa pulang ilmu dan inovasi dari lebih 40 institusi bertaraf dunia, memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia pada peringkat global.
Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa masa depan Malaysia akan dipacu oleh golongan pencetus perubahan yang menghayati ilmu, empati dan keazaman.
"Saya percaya Malaysia akan dikaji semula, diperkasakan semula dan dihidupkan semula oleh pencetus perubahan ini termasuk anda semua yang hadir pada hari ini," titah baginda.
Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia berusia 22 hingga 35 tahun untuk mendapat pendedahan global, membangunkan penyelesaian inovatif, dan menyumbang kepada pembangunan negara.